Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu
adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya
memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000
gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan
pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada
setiap belahannya pula
terdapat 70,000 lembah dari api.
Dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa pada setiap lembah itu terdapat
70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000
kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan
70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa setiap kala itu
mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas.
Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.
Dalam hadis yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka
penutup neraka Jahannam, maka sebaik saja pintu neraka Jahannam itu terbuka,
akan keluarlah asap datang mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula
sebuah kumpulan asap mengepung mereka di sebelah hadapan muka mereka, serta
datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan di belakang mereka. Dan
mereka (Jin dan Manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergetarlah
dan mereka berlutut dan memanggil-manggil, "Ya Tuhan kami,
selamatkanlah."
Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Akan
didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu
mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000
malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada
diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras."
Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan
setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia
memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur
gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan saja ia akan membenamkan 70,000
ke dalam neraka Jahannam.